CoMe TaKe PicTuRe :)

Thursday, 21 July 2011

Apa Ertiku Menuntut Ilmu


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Al Mujahid As Syeikh Mustafa Masyur pernah menyebut ;
"Tarbiyyah (pendidikan) bukan segalanya-galanya, tetapi segala-galanya hanya dapat diraih dengan Tarbiyyah."
Kadang-kadang kita mengeluh mengapa kita perlu belajar tinggi-tinggi?
Kita hanya belajar untuk peperiksaan yang bakal tiba.
Kita hanya belajar untuk memuaskan hati ibu bapa.
Kita hanya belajar untuk dipandang tinggi oleh masyarakat.
Satu pertanyaan diajukan oleh golongan wanita.
Katanya buat apa belajar tinggi-tinggi, lepas kahwin jadi surirumah juga?
Namun ada yang kata dunia hari ini berbeza, lelaki & wanita sama saja.
Bila berumahtangga apa susah, masing-masing urus kerjaya sendiri.
Bila datang cahaya mata, masing-masing tak nak mengalah, kerjaya masing-masing dipertahankan, anak yang dianugerahkan dianggap musibah.
Akhirnya dengan sifat penyayang si ibu pasti mengalah.
Akhirnya sama saja wanita tetap jadi surirumah.
Sedikit portion adalah sebaliknya, lelaki yang jadi surirumah.
Tapi hakikatnya tetap wanita majoritinya.
Ada satu kata-kata Ibu yang bijak mengajar anak daranya,
"Jangan anggap wanita tidak perlu belajar tinggi-tinggi, walau kebanyakan akan jadi surirumah, tapi ingatlah anakku, ia pasti berbeza cara dan kualiti, seorang ibu yang tinggi pelajaranya dengan yang sebaliknya, yang mana akan melahirkan insan yang berguna?"
"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui"
(QS 39 : 9)
Bagi lelaki pula jangan gembira, jangan menyangka wanita belajar nampak tiada gunanya. Bagaimana dengan diri anda?Mengapa wanita selalu lebih banyak, terutama di peringkat IPT? Ada yang kata dunia nak kiamat, ada yang kata lelaki is more to practical, not theoratical. Itu pasal habis SPM kami terus masuk bekerja. Tidak payah nak belajar tinggi-tinggi, buang duit bayar yuran pengajian. Kalau bekerja dapat sebaliknya, dapat kumpul duit itu yang utama. Diri pun nampak matang, kerana sudah bekerjaya.
Tidakkah dirimu nampak kurang matang, kerana pemikiranmu tersangkut hanya sampai di masa itu. Tidakkah kau lihat masa hadapan, perluaskan minda melihat semuanya - mana yang nampak mulia, fikirkan dengan minda yang berwawasan,
orang berilmu, belajar tinggi-tinggi, terutama jika ilmu yang diredhai, bukan semua ilmu dipelajari dapat redha yang Maha Mengetahui.
Ingatkah ketika Ibnu Athaillah mengatakan, dalam kitabnya Al-Hikam,
"Ilmu yang paling baik adalah yang disertai khasyyah."
Khasyyah adalah rasa takut kepada Allah yang disertai mengagungkan Allah. Maka segala jenis ilmu yang tidak mendatangkan rasa takut kepada Allah dan juga tidak mendatangkan pengagungan kepada Allah tiada kebaikannya sama sekali"
Itulah kata-kata indah dari seorang Tokoh. Satu persoalan yang sering bermain di fikiran. Bagaimana nak belajar kerana Allah, untuk mendapat redhanya?
InsyaAllah inilah jawapannya.
Untuk mengetahui ilmumu bermanfaat atau tidak, cukuplah kau lihat bekasnya. Jika dengan itu kau semakin takut kepada Allah dan semakin baik ibadahmu kepada-Nya, maka itulah tanda ilmumu benar-benar bermanfaat. Jika sebaliknya maka berhati-hatilah.
Ini semua bermain dengan niat, satu benda yang sukar dijaga. Pengikhlasan niat hanya pada-Nya, paling kurang 5 kali ikrar diulang setiap hari. Semuanya hanya untuk Allah Azza Wa Jalla,
"Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam."
(QS 6 : 162)
Di mana kita selama ini? Ilmu apa yang kita tuntut? Jangan ingat hanya ilmu agama sahaja yang nampak diredhai.
Walau Rasulullah pernah bersabda, buat renungan kita semua;
"Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan baginya, Dia (Allah) memberikannya kefahaman dalam Ad-Din"
Jangan kita berfikiran sempit, mentakrifkan ilmu agama sahaja yang akan diredhai. Tidakkah kau mengetahui, ilmu lain nampak dibayangi, seperti sains dan astronomi, tidakkah itu cara untuk mendekati kepada Ilahi. Ilmu lain boleh didasarkan pada niat yang hakiki, menambah ilmu untuk menjadi seorang pengabdi, kepada Tuhan Rabbul 'Izzati. 
Karya Asli : SaBaHaNmUsLiM

Kaedah Belajar


Ramai yang masih tidak mengetahui cara untuk belajar dan ini akan menjadi satu masalah kepada mereka untuk menduduki peperiksaan kelak. Di sini saya ingin kongsikan sedikit cara belajar yang pernah saya amalkan.
1) MASA
Sebelum memulakan suatu sesi pembelajaran, pemilihan waktu yang tepat adalah penting untuk memastikan minda kita mampu menerimanya dengan keadaan yang optimum. 
Contohnya, kebanyakan pelajar suka mengulang kaji pelajaran mereka pada tengah malam atau seawal pagi kerana pada masa ini keadaan sunyi dan minda kita akan dapat fokus pada apa yang kita belajar. Lebih-lebih lagi mata pelajaran yang melibatkan pengiraan seperti matematik.
2) TEMPAT BELAJAR
Perkara ini haruslah diambil berat kerana apabila keadaan tempat belajar kita kemas dan teratur sudah tentu kita dapat belajar sesuatu perkara itu dengan baik.
Seeloknya tempat yang baik untuk kita belajar ialah di perpustakaan kerana suasana yang sangat kondusif. Ini akan memudahkan proses pembelajaran kita.
Andai di rumah, pastikan tempat tersebut mampu merangsang minat kita untuk mentelaah tanpa terdapat gangguan luar seperti suasana yang bising yang boleh merencatkan proses pembelajaran.
Pastikan meja belajar menghadap ke arah kiblat.
3) NOTA
Setiap kali kita mengulang kaji pelajaran, sebaiknya jangan hanya membaca buku sahaja tetapi adalah lebih baik kita membuat nota ringkas. Ia membantu kita untuk mengingat.
Di samping itu juga, kita boleh membawa nota tersebut ke mana sahaja dan boleh dibaca pada bila-bila masa sahaja.
Nota yang baik bukan hanya nota yang ringkas, tapi nota tersebut hendaklah mudah untuk difahami.
Salah satu cara terbaik untuk membuat nota adalah dengan menggunakan peta minda (mind map). Cara ini adalah salah satu cara yang sangat berkesan khususnya bagi subjek yang memerlukan pembacaan yang banyak.

Cemerlang Dalam Peperiksaan


Setiap pelajar inginkan apa yang dipelajari itu akan mendatangkan kesan. Belajar secara berkesan bukanlah dikira jumlah jam belajar atau berapa banyak perkara yang dapat dihafal. Belajar secara berkesan perlulah mengandungi 3 komponen ini:-
01.Mengulangkaji: Kebiasaannya apabila menyebut perkataan ulangkaji ramai pelajar menganggapkan tindakan yang perlu dilakukan hanyalah terhad pada pembacaan sahaja.
Tindakan mengulangkaji sebenarnya dapat dilakukan dengan beberapa cara termasuk menyemak semula apa yang telah dipelajari, memahami konsep, menghafal formula atau istilah yang penting, menganalisis isi-isi penting atau mengenal pasti kelemahan dan kekeliruan yang dihadapi serta mencatat semula isi-isi tersebut dalam bentuk nota ringkas, peta minda, peta konsep atau pengurusan grafik.
02.Membuat rujukan: membuat rujukan bahan tambahan, bertanya dengan guru atau berbincang dengan rakan adalah amat penting dalam proses mengulangkaji. Rujukan boleh dilakukan melalui bahan cetak seperti buku rujukan, akhbar dan majalah.
Pendidikan Utusan adalah merupakan satu contoh yang baik sebagai bahan untuk pelajar-pelajar membuat rujukan. Rujukan juga boleh dibuat melalui laman web seperti Portal Pendidikan Utusan (www.tutor.com.my) yang secara khusus memberi maklumat tentang mata pelajaran utama peperiksaan awam.
Rujukan juga boleh dibuat melalui laman web yang mengandungi maklumat yang boleh dicari melalui agen pencari maklumat (contoh: www.google.com)
03.Membuat latihan: Latihan boleh dilakukan dalam bentuk latih tubi, kuiz, soal jawab atau menganalisis soalan-soalan tahun lalu serta merangka jawapannya.
Ketiga-tiga komponen di atas perlulah diintegrasikan agar proses belajar dapat dialami secara lebih berkesan tanpa berasa bosan, tertekan atau mengantuk

Adab Menuntut Ilmu


Dalam usaha kita untuk menuntut ilmu, seharusnya kita mengetahui dahulu betapa perlunya adab-adab sebelum menuntut ilmu. Perkara ini diperkuatkan lagi dengan kata-kata Ibnul Mubarak dalam sebuah kitab beliau:
"Aku memperlajari adab selama tiga puluh tahun dan aku mempelajari ilmu selama dua puluh tahun. Dan adalah mereka (ulama') mempelajari adab kemudian mempelajari ilmu" [Mansuah al Adab al Islamiah : 15]
Pada pandangan saya, perlunya adab dan ilmu boleh diumpamakan seperti 'adunan untuk membuat roti'. Adab diumpamakan seperti gandum dan ilmu diumpamakan seperti garam. Hendaklah kita memperbanyakkan gandum berbanding garam namun nisbah tersebut haruslah sekata supaya gandum dan garam yang diadun sempurna nisbahnya. Dan ketahuilah, memperbanyakkan adab bersama ilmu yang sedikit lebih baik daripada memperbanyakkan ilmu berbanding adab yang sedikit.
Dalil Menuntut Ilmu
Dalam Surah at Taubah ada menyebut bahawa bukan semua di antara kita pergi untuk berjuang (berjihad). Makanya wajib sebahagian di antara kita pergi memperdalamkan ilmu agama. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang). Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)." [At Taubah 9 : 122]
Dan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW ada menyebut bahawa sekiranya Allah SWT ingin memberikan hambanya kebaikan, maka Allah SWT akan memberikannya kefahaman dalam agama. Perkara ini yang harus dikejar oleh setiap muslim agar dekat kepada kebaikan yang dijanjikan oleh Allah SWT dengan menuntut ilmu. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah SWT baginya akan kebaikan, nescaya Allah SWT akan memberinya kefahaman dalam agama" [HR Bukhari dan Muslim]
Adab Menuntut Ilmu
01.Niat yang ikhlas

Menuntut ilmu bukan untuk lulus dalam perperiksaaan, untuk mendapat kerja yang bagus, untuk dikatakan orang yang bijak atau pelbagai lagi niat yang lain melainkan hanya kerana Allah SWT. Daripada Ibn Umar RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang menuntut ilmu kerana selain daripada Allah SWT ataupun menghendaki menuntut ilmu (sebaliknya) selain daripada Allah SWT, maka disediakan tempat duduknya daripada neraka." [HR Tarmizi]
Niat itu sendiri memainkan peranan yang tinggi dalam sesuatu amalan. Setiap amalan kita akan dinilai oleh Allah SWT berdasarkan niat. Maka niatlah segalanya hanya kerana Allah SWT, kerana sesungguhnya Allah SWT tahu apa yang terdetik dalam hati tiap-tiap manusia.
02.Beradab dengan orang yang memberi ilmu

Imam Syafie pernah bekata:
"Sesiapa yang ingin dibuka hatinya oleh Allah, maka hendaklah ia berkhalwah, sedikit makan, menjauhi daripada bergaul dengan orang yang bodoh, dan membenci orang yang tidak berlaku adil dan tidak beradab daripada kalangan mereka yang berilmu" [Kitab Majmuk, Syarah Mazhab, jilid 1, m/s 31]
Pada pendapat saya dalam hal beradab dengan guru, ia memerlukan perbahasan yang panjang. Namun secara ringkasnya bagi kita sebagai penuntut, adab-adab ini haruslah disesuaikan mengikut situasi. Janganlah kita terlalu menghormatinya sehinggakan mengakui kesilapan yang guru itu lakukan dan janganlah juga kita terlalu memperlecehkan sehingga guru itu tidak ikhlas dalam memberi ilmu kepada kita. Hormatnya kita akan guru berubah mengikut situasi dimana hormatnya seorang kanak-kanak tadika dengan gurunya berbeza dengan hormatnya mahasiswa dengan pensyarah.
03.Bersabar dalam menuntut ilmu

Imam Syafie pernah berkata:
"Tidak diperolehi ilmu kecuali dengan bersabar atas kesengsaraan." [Kitab Muntalaqat Talib al Ilmi, Husin Ya'cob, m/s: 237
04.Tulis setiap yang dipelajari

Sahabat Rasulullah SAW sendiri menulis jika ingin menuntut ilmu, adakah kita lebih baik dari mereka dengan tidak menulis apa yang dipelajari?
Abu Hurairah berkata: 
"Tidak ada seorangpun daripada sahabat Rasulullah SAW yang paling banyak meriwayatkan hadis kecuali Abdullah bin Amr bin al Asr, maka sesungguhnya dia telah menulis dan aku tidak menulis" [HR Ahmad dan Baihaqi]
05.Rendah diri

Imam Ahmad bin Hambal berkata:
"Kami diperintahkan supaya tawadhu' (rendah diri) kepada siapa yang kami pelajari ilmu daripadanya." [Kitab Muntalaqat Talib al Ilmi, Husin Ya'cob, m/s 274]
06.Menjahui dari kenyang yang berlebihan

Ibn Jama'ah berkata:
"Sebesar-besar perkara yang menolong seorang penuntut ilmu dengan kefahaman dan tidak rasa jemu adalah makan sekadarnya daripada makan yang halal." [Kitab Fadhlu al Ilmi wa Adab Talabihi, m/s 222]
07.Tidur yang sedikit

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman (syurga) dan mata air, mereka mengambil apa yang diberikan Tuhan kepada mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu (di dunia) adalah orang-orang yang berbuat baik; mereka sedikit sekali tidur di waktu malam dan pada akhir malam mereka meminta ampun (kepada Allah SWT)." [Az Zariyat 51 : 15 – 18]
08.Kurangkan berkata-kata yang tidak menfaat

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka bercakaplah dengan perkataan yang baik ataupun diam." [HR Bukhari dan Muslim]
PENUTUP:
Tiada adab yang lebih sempurna melainkan kita mengikuti adab Rasulullah SAW dan adab mereka yang segenarasi dengan Rasulullah SAW (sahabat), generasi setelahnya (tabi'in) kemudian setelahnya (tabi' tabi'in).
Saya menasihati para pembaca sekalian agar dalam usaha kita untuk menuntut ilmu agama, seharusnya memperbanyakkan adab-adab dalam menuntut ilmu. Namun adab-adab tersebut seharusnya jangan terlalu 'fanatik' sehinggakan memperbetulkan apa yang salah dari mereka yang kita hormati. Manakah yang kalian lebih cintai sama ada pemberi ilmu atau kebenaran? Dan kebenaran itu juga seharusnya dengan ilmu.
Hanya ilmu yang layak untuk menjadi pegangan kita sebagai ummat akhir zaman ialah al Quran, as Sunnah dan sunnah Khulafa' al Rasyidin seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesungguhnya barangsiapa di antara kalian yang hidup sepeninggalanku nanti, maka ia akan melihat perselisihan yang banyak. Oleh kerana itu wajib bagi kalian untuk berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah al Khulafa al Rasyidin yang terbina dan terbimbing. Berpeganglah erat-erat denganya dan gigitlah ia dengan gigi gerham." [HR Abu Daud, at Tarmidzi dan lain-lain]
Tinta saya hanyalah dari ilmu yang sedikit namun kerana kesedaran betapa pentingnya adab dalam menuntut ilmu maka saya kongsikan apa yang terbaik dari ilmu yang sedikit ini. Saya memohon dari para 'alim dari segala ilmu untuk menegur jika terdapat salah dan silap dari apa yang saya kongsikan ini. Sungguh tiada yang lebih benar melainkan dari al Quran dan as Sunnah Rasulullah SAW.

Sunday, 17 July 2011

pizza!!pizza!!yum.

9/07/11 mam pizza at jusco,,, sdp..sempena hari lahir adk aku pada 10/7..haha awalnya ayah aku belanja,hehe... terima kasih,, ..dalam masa yang sama,.,,kami g shopping beli baju raya,,haha walaupun puasa belum lagi ,,tapi beli awal3,,,t puasa penat lak kan,, :D